CUKA KURMA (KHAL TAMAR) : MAKANAN UNTUK PENDEKAR


“Sebaik-baik hidangan adalah KHAL. Sebaik-baik hidangan adalah KHAL.” – Nabi Muhammad S.A.W

Contoh pembotolan Cuka Kurma atau Khal Tamar

Begitulah kata-kata yang dikeluarkan oleh baginda Nabi Muhammad (s.a.w.) di dalam hadis riwayat Imam Muslim (Muslim 2052). Namun apakah itu Khal? Atau juga dikenali sebagai Khal Tamar. `Khal` adalah perkataan Arab yang bermaksud `Cuka` di dalam bahasa Melayu manakala `Tamar` adalah bermaksud `Kurma`. Maka apakah hebatnya khal ini sehingga Rasulullah mengeluarkan kata-kata sedemikian rupa? Dan kenapa saya menegaskan yang khal ini adalah `Makanan untuk pendekar dan pesilat`?

Sebelum itu, mari kita bersama mengupas apa itu khal dengan lebih terperinci.

APA ITU KHAL?

KHAL adalah nama dalam bahasa Arab bermaksud suatu bahan daripada buah-buahan seperti tamar, epal, anggur dan tin (fig) yang disimpan atau diperam dalam jangka masa tertentu, bertukar daripada jus buah menjadi alkohol, seterusnya menjadi yis kemudian bertukar menjadi asid asetat dan akhirnya menjadi KHAL, dalam bahasa Inggeris dipanggil vinegar.

KHAL bukanlah bermaksud cuka sepertimana yang difahami oleh kebanyakan orang atau pun cuka buatan yang dibuat masakan dalam makanan. KHAL adalah suatu bentuk minuman kesihatan badan yang mempunyai banyak khasiat. KHAL dapat memenuhi kehendak tubuh badan dan mempunyai keberkesanan yang maksimum. Ianya adalah bersifat alkali (lawan kepada asid).

Pemilihan buah tamar untuk dibuat KHAL adalah kerana khasiat kurma yang terlalu banyak untuk kesihatan badan. Dikeluarkan oleh Imam Bukhari 10/203, dan oleh Imam Muslim (terjemahannya): Terdapat di dalam hadis sahih daripada Rasulullah SAW : “Sesiapa yang makan tujuh biji buah tamar (kurma) di pagi hari (dan menurut satu lafaz, tamar dari Al-Aliyah) maka dia akan selamat daripada bisa, racun dan sihir pada hari itu.” Dan juga dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya 2046, hadis Nabi SAW (terjemahannya): Bahawa Baginda SAW bersabda: “Apabila sesuatu rumah tidak ada tamar maka penghuninya akan kelaparan (kurang sihat).”

Kebaikan buah tamar disebut sebagai makanan yang dapat mengubati masalah darah, masalah usus, masalah hati, hempedu, lemah jantung, menambahkan air mani, masalah kerongkong dan mulut, menambahkan nutrisi tubuh badan, mematikan kuman (bakteria), masalah migrain dan penawar racun dalam badan yang sangat baik.

Penemuan bertulis khal dicatat sekitar 5000 sebelum Masihi, apabila Babylon mula-mula menggunakan tamar (kurma) untuk dijadikan wine dan cuka. Khal ketika itu digunakan sebagai makanan dan pengawet organik. Kesan khal ditemui pada serpihan bekas tinggalan kota Mesir purba sekitar 3000 sebelum masihi. Begitu juga sejarah amalan khal di China sekitar 1200 sebelum masihi.

Di zaman Greek kuno, sekitar 400 sebelum Masihi, Hippocrates, bapa perubatan moden menggunakan khal bercampur madu untuk mengubati pelbagai penyakit, termasuk demam selesema dan batuk.

NUTRISI KESIHATAN BADAN

Kurang Potassium juga punca utama
kekejangan otot

Secara saintifik, KHAL adalah minuman yang kaya dengan kandungan potassium bagi membantu mengekalkan keremajaan (awet muda). Peranan potassium menjadikan kulit tegang, tidak berkedut, dan mencegah garis-garis halus di muka. Potassium juga berguna untuk kecerdasan, tidak letih dan malas bergerak serta kelihatan riang.

Potassium amat penting dalam pembinaan dan penyembuhan otot badan dimana sel-sel otot akan dibina semula selepas kita menjalani latihan beban atau berlaku kecederaan pada otot. Faktor utama otot sering mengalami kekejangan adalah kerana kekurangan kadar potassium di dalam badan. Bayangkan ketika anda sedang berlawan atau bertanding, waktu getir tiba-tiba kaki anda menjadi kejang, sudah tentu akan membahayakan anda. Maka potassium adalah salah satu nutrisi PENTING dalam badan seorang pendekar!

KHAL rasanya seperti cuka, tetapi tidak berbahaya kepada tubuh. KHAL adalah minuman beralkali yang dapat mengimbangkan asid dalam badan serta mengembalikan keseimbangan pH dalam tubuh. KHAL juga kaya dengan vitamin C, E, B1, B6, beta-karotena dan vitamin P (bioflavonoid). Diperlukan sebagai agen pembersih badan, menyingkirkan bakteria negatif, kuman, bau badan serta bersifat memulihkan semua organ penting tubuh. KHAL juga dapat memotong lemak, kolesterol, asid-asid yang tidak diperlukan badan (menstabilkan), mengurangkan kandungan gula yang membawa kepada kencing manis (diabetes), mengurangkan garam yang berlebihan yang menjadi punca masalah tekanan darah tinggi yang membawa kepada strok atau lumpuh, badan terketar-ketar, lupa, nyanyuk dan lain-lain.

Khal juga mampu meningkatkan antibodi badan dalam melawan wabak penyakit. Pada 1721, wabak Bobonic (Bubonic Plague) menular di Perancis, begitu tragik sehinggakan banyak mayat dibiarkan sahaja di mana-mana tidak dikebumikan. Untuk menyelesaikan masalah ini, penguasa Perancis mengarahkan pesalah yang sedang menunggu hukuman mati untuk menguruskan mayat yang dijangkiti. Ramai banduan mati kecuali satu pasukan pencuri empat orang, mereka terselamat dengan meminum khal bersama bawang putih dalam kuantiti yang banyak dalam sehari.

FAEDAH KHAL KEPADA PAHLAWAN-PAHLAWAN DUNIA

Ilustrasi Pahlawan Samurai Jepun

Sekitar tahun 800 – 1200 Masihi, pahlawan-pahlawan Samurai di Jepun mempercayai yang khal mampu memberi mereka kuasa dan tenaga yang kuat. Mereka menjadikan khal sebagai minuman harian. Di Jepun, pahlawan Samurai membuat khal daripada beras, berbeza di Arab dimana buah tamar (kurma) dijadikan khal. Khal beras telah wujud di China sejak tahun 1200 SM dan ia menjadi minuman harian orang China dahulu kala.

Minuman khal bagi tentera Rom dipanggil sebagai ‘Posca’ yang bermaksud ‘minuman tajam’ kerana rasanya yang masam dan tajam. Ia menjadi minuman kebiasaan bagi mereka sekitar abad ke-2 SM (1000 SM). Bagi jeneral mereka, peminuman wain adalah tanda seseorang itu tidak berdisplin dan tidak mendengar arahan. Maka wain telah diharamkan malah peminuman Posca lebih berkhasiat berbanding wain yang memabukkan. Posca mampu membunuh bakteria-bakteria di dalam perut tentera-tentera Rom ketika mereka keluar berperang. Berperang di luar negara mereka mendedahkan kepada mereka bakteria serta virus yang merbahaya, maka mereka memerlukan tonik atau herba yang mampu memberi perlindungan serta melawan sebarang jangkitan bakteria.

Ketika Perang Sivil Amerika (1861-1865) sehingga ke Perang Dunia Pertama (1914 – 1918) , khal dijadikan sebagai bahan utama dalam proses disinfektan dan pembersihan pada bahagian luka seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan dan pemulihan.

Tentera British ketika Perang Dunia Pertama

Sebagai seorang pendekar atau pesilat, proses pemulihan akibat luka luaran atau dalaman amatlah penting. Di samping kekuatan otot badan juga menjadi tunjang kepada daya tahan badan dan stamina seseorang. Ia seharusnya menjadi amalan bagi setiap daripada kita agar badan kita menjadi lebih sihat dan segar serta meningkatkan antibodi badan dalam melawan sebarang penyakit dalam badan. Luka ketika membuat latihan bersenjata tajam seperti keris atau parang mampu membantu para pendekar pulih dengan cepat.

Khal juga mampu mengikis dan membuang lemak-lemak yang terperangkap di dalam saluran darah dan organ-organ penting seperti perut, hati, dan jantung. Lemak yang berlebihan di organ-organ penting tersebut mampu membunuh seseorang itu secara perlahan (strok, serangan jantung, hati berlemak, dll). Maka adalah lebih elok jika kita mencegah lebih awal dengan mengamalkan peminuman khal.

Bahayanya Visceral Fat
atau lemak di perut.

Pentingnya hati untuk dijaga kerana ia sebagai penapis segala makanan yang dimakan. Hati berfungsi menapis daripada makanan, memproses darah daripada bahan toksik, dan menghadamkan lemak. Jika ia rosak dan sudah tepu, segala toksik, lemak, dan bakteria akan menyerap masuk ke dalam badan. Khal mampu untuk membersihkan hati daripada toksik dan lemak yang telah tepu. Khal juga menjadi agen dalam membuang toksik-toksik di dalam badan (Detox) melalui najis.

Amalkan meminum khal setiap pagi untuk detox badan dan membaiki tisu-tisu hati serta tisu-tisu buah pinggang.

Apabila hati berfungsi dengan baik, metabolisme badan atau pembakaran lemak akan berlaku dengan mudah dan efektif ketika anda berlatih silat. Sesuai untuk para atlet Silat Olahraga yang ingin menjaga berat badan.

Orang Arab mampu menghabiskan seekor kambing dengan 4 orang sahaja, dan mereka tidak pernah kena penyakit Darah Tinggi. Apa rahsianya? Khal Tamar. Khal mampu memotong atau menghiris lemak-lemak kambing tersebut di dalam saluran darah.

Ni makan dulang atau Swimming Pool??!!!

KENAPA KHAL DARIPADA KURMA?

Kenapa khal daripada kurma? Kenapa tidak daripada buah-buahan lain? Mudah sahaja jawapannya. Kerana ia SUNNAH NABI (s.a.w.). Bukankah kurma itu makanan sunnah. Di samping kita menguatkan badan, kita juga telah mendapat pahala mengikut sunnah nya.

CARA MEMINUM KHAL

Gunakan cawan kecil seperti cawan di kenduri. Letakkan sedikit khal ke dalam cawan (lebih kurang 1/5 cawan) kemudian campurkan satu sudu madu lebah dan kacau sehingga sebati. Campurkan air ke dalam campuran tadi (lebih kurang 3/5 cawan). Elakkan menggunakan air panas, kerana anda sakit tekak selepas meminumnya. 
Khal Tamar boleh dibeli semurah RM10 sehingga RM30 sebotol. Namun ada pengeluar sudah mencampurkan khal bersama dengan madu dan harganya boleh meningkat sehingga ke RM60 ke RM80 sebotol.

Pelbagai jenama Khal Tamar yang ada di pasaran. Antaranya :

  1. Durra Date Vinegar
  2. Sahara Date Vinegar
  3. Golchkan Date Vingar
  4. Yusuf Taiyoob
  5. Khal Tamar Plus (sudah dicampur dengan madu)
P/S : Saya selalu membeli khal di Kompleks Bangi Utama (Warta) yang tidak dicampur lagi dengan madu (jenama SAHARA), harganya cuma RM10, manakala madu pula saya selalu membeli daripada sahabat saya yang juga ahli kelas silat di Kompleks Pendidikan Islam. Madu yang dijual adalah Madu Tualang Pahang. Ada yang berminat bolehlah menghubungi beliau ( Akmal Hj Mansor – 019 265 1470) atau facebook beliau : https://www.facebook.com/MaduSihat


DALIL-DALIL TENTANG KHAL DARIPADA HADIS & KITAB IMAM

Dari Jabir Bin Abdullah (rd) bahawasanya Rasulullah SAW bertanyakan tentang hidangan lauk kepada keluarga Baginda, lalu mereka menjawab: “Kami tidak mempunyai apa-apa pun melainkan KHAL”, lalu Baginda pun memintanya, lalu Baginda pun mengatakan: “Sebaik-baik hidangan adalah KHAL. Sebaik-baik hidangan adalah KHAL.” ( Muslim 2052: Imam Muslim )

Daripada Ummu Said (rd) Nabi SAW bersabda: “Sebaik-baik hidangan makanan ialah KHAL, Ya Allah berkatilah KHAL, sesungguhnya KHAL itu adalah makanan nabi-nabi terdahulu sebelum Aku dan jangan terputus KHAL dalam suatu rumah.” ( Ibnu Majah 3318 )

“Celupan yang paling disukai Rasulullah SAW ialah KHAL.” ( Kitab Perubatan Nabi oleh Muhsin Aqil Darul Majjah Al-Baida, Beirut 1420H, m/s 61 )

Bersabda Rasulullah SAW: “Makanlah oleh kamu KHAL, kerana ia dapat membunuh bakteria-bakteria dalam perut. ( Kitab Tibbul Aimmah oleh Assayyid Abdullah Syubbir, Juzuk Awal Maktab Alalfain, 1410H, m/s 192-193 )

Kenyataan KHAL oleh Ulama Perubatan Islam silam: “Sebaik-baik hidangan ialah KHAL kerana dapat memecahkan lemak di badan dan menghidupkan hati.”

Saiyidina Ali (karamallah) berkata: “Minumlah oleh kamu KHAL, kerana KHAL dapat membunuh ulat-ulat (bakteria atau kuman) di dalam perut.”

Meminum khal juga mampu menguatkan
gusi dan gigi.

KHAL dapat mencegah sebarang pembengkakan di badan (bisul, kanser), menyucikan darah, membaiki masalah pencernaan di perut, masalah usus, kerongkong, kahak, batuk yang berpanjangan, menjaga kulit daripada kepanasan matahari, mengatasi masalah lemak-lemak di badan (kolesterol), menstabilkan asid dan garam di badan, membuang keracunan badan (toksik), masalah rahim, menguatkan gigi, mata, telinga serta mengembalikan tenaga lelaki dan perempuan.
[Ibnu Sina (370-428H), Al-Qanun Fi Al-Tib, Tahqiq & Ta’liq oleh Sa’id Al-Lahham, Juzuk I, Darul Fikri, Beirut 1414H, m/s 908-909]

KHAL bermanfaat untuk mengatasi masalah gastrik di perut, masalah hempedu (membersih hempedu dari lemak yang membentuk batu), mencegah terhadap penyakit bahayanya ubat-ubatan (kesan sampingan daripada ubat yang pelbagai) yang boleh membawa kepada kematian. KHAL dapat melancarkan susu ibu dan melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (masalah gangguan haid). KHAL bermanfaat untuk masalah limpa, membersihkan usus (membuang toksik di perut), mencegah sebarang pembengkakan yang akan terjadi di tubuh manusia (seperti kanser, bisul dan sebagainya), membantu sistem penghadaman makanan yang kasar dan membersihkan darah manusia (darah yang beracun).
[Ibnu Qaiyim Al-Jauziyah (619-751H), Al-Tib Al-Nabawi Darul Kitab Al-Arabi, Beirut 1410H, m/s 233]


MOHD SAFWAN A. HASSAN
Jurulatih Kanan
Pusat Cemerlang Silat
Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia

Rujukan :
http://en.wikipedia.org/wiki/Posca
http://www.enzyme-facts.com/vinegar-history.html
http://www.blog.khaltamarplus.com

View the original article here

Leave a Reply